FGV Prodata Anjurkan Program Kesedaran Keselamatan Siber untuk Petugas-Petugas FELDA

Pada 4 Julai 2022 yang lalu, FGV Prodata Systems Sdn. Bhd (FGV Prodata) telah menganjurkan Program Kesedaran Keselamatan Siber untuk petugas-petugas FELDA. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran berkaitan langkah-langkah yang terbaik dalam menangani isu ancaman keselamatan siber yang kian meruncing di sektor kerajaan. Di samping itu, program ini juga diharap dapat menerapkan nilai kesedaran dan kepentingan dalam mematuhi setiap polisi keselamatan siber di setiap organisasi.

Program yang julung-julung kalinya ini telah diadakan di Menara Felda, Kuala Lumpur dan dihadiri oleh seramai 8 orang Timbalan Pengarah Wilayah FELDA.

Pada suku pertama 2022, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 57.8 juta serangan siber yang mewakili kira-kira 1.14 peratus daripada jumlah serangan siber di seluruh dunia. Trend serangan siber yang semakin meningkat ini amat membimbangkan.

Kesan dari teknologi yang semakin berkembang, pelbagai bentuk serangan siber yang tidak terjangka mungkin menyerang tanpa mengira masa atau tempat. Oleh itu, menjadi satu keperluan bagi FGV Prodata dalam memainkan peranan yang penting dalam membantu mana-mana organisasi, terutamanya FELDA bagi mengenali dan menangani ancaman siber seperti kebocoran data, pancingan data dan serangan ‘’ransomware’’.

Program ini seterusnya akan diperluaskan secara berperingkat kepada petugas-petugas di ibu pejabat dan Wilayah FELDA.

Semoga dengan perkongsian ilmu oleh FGV Prodata ini akan dapat melahirkan petugas yang peka dalam mengenalpasti ancaman keselamatan siber di setiap organisasi.